Rindu yang semakin rimbun
Melusuh birat jiwa yang meruntun
Minda dipuja hingga terpegun
Menikam hati mengusir santun.
Melayu yang kian melayu merapu bagai hantu dihujung kuku merah dan biru bermalu ditusuk sembilu sedia ia bermadu kerana bahasa yang kian lesu aduhai melayu yang merapu kikis rindu dengan berlagu cyberjaya apakah telah menjadi tugu?
Kata orang jawa,"melayu!melayu!melayu!"
Kataku,"lari!lari!lari tinggalkan melayu yang kian bisu."
Melayu itu kian berlari bersama keliru
Bahasa yang mahu dimadu
Kasih yang mahu dirayu
Tatkala semua telah melayu
Melayu ! Melayu ! Melayu !
Lari ! Lari ! Lari !
Mahu bertongkat dengan angka satu
Tertiarap mindanya tewas beradu
Meratib realiti menyulam tiru
Sosial setia bersegi penjuru
Sudah alpa peri pelaku?
Pada jelata yang sering memangku
Di atas jemala batu yang berat sedia dibahu,
Yang capik datang bertongkat
Yang buta datang berpimpin
Yang pekak leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak bertolak-tolakan
Yang pendek tinjau-tinjauan
Yang kurap mengekor angin.
Sudah lupa kita tidak berkubukan ilmu?
Sudah alpa kita tidak bersusilakan wahyu?
Sudah teruja kita dek megah memandu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan