Maaf duhai Juwita
Langgam kita nahunya masih tidak sempurna untuk saling dierat dakab manisnya mesra
Rima-rimanya masih berbaitkan kepedihan oleh ngilu sengsara
Laras patah kalimahnya belum dipintal anyaman dek luka jari tertusuk duri.
Payah Juwita
Menahan gigitan sembilu yang halusnya bak hama
Bukankah masih ada bahasa yang dicatat masih tidak secantik rasa
Bukankah masih berbaki lakaran yang dilukis basahnya dilarang disentuh jari.
Aduhai Juwita
Usah menyangga luluh yang dirasa dengan memaksa
Mesra setiakah hanya kerana ceria?
Pemurahkah hanya kerana budi dan bahasa?
Usah menyiksa diri kita Juwita
Aktiviti diwacana oleh jasa
Akan apa jadinya?
Usah begitu Juwita
Suara batin menindan suara zahir
Luruh berguguran nanti ialah kasih yang tidak terlahir
Karisma minda akan di mana kita arcakan
Saat gigil sekawan hati
Rimbakah menjadi hulur yang disaji?
Kebulur marhaen di tangan siapa cela dan mungkirnya janji?
Sakit si miskin mahu diujar mundur oleh ilmu yang tidak dipasarkan dengan gaji?
Iman tidakkah pengukur penjimatan tatkala pembaziran itu dirangkul rakus oleh pangkuan ímprealis' berbaris lapis kroni?
Juwita
Mahu mu dipanggil dengan seruan apa
Tatkala Hamman masih dilahirkan dengan khazanah marhaen
Agama digusari menjadi revolusi
Demokrasi pula masih dipuja dengan ilmiah siasat kaji bicara
Mana hati dan jiwa mu Juwita?
Wabak virus pada kulit hitam yang melepuh berurung waris beluncas
Kulit yang sama juga yang sentiasa meriah bersamba dansa bagai rerama
Pada sukar dan derita mereka juga yang sama diarak berjamu selera di menara dunia.
Kitakah yang layak didakwa wahai Juwita?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan