Khamis, 22 September 2011

Tahniah Untuk Siapa Dek?

Waktu itu dia masih kecil.


Andai diminta ke kedai tidak boleh diberi wang melebihi lima ringgit (itu dahulu tetapi dibandingkan dengan masa ini apakah yang upaya ditawarkan oleh wang sejumlah ini?)


Apakah nasib bagi mereka yang tidak berpendapatan atau yang sepenuhnya pendapatan mereka ditentukan oleh nilai keuntungan bagi pasaran semasa komoditi-komoditi di bursa dagangan?


Bimbang wang tidak berbaki dan banyak barang bermakna sarat beban badan kecil itu akan menggalas.


“Di kedai tidak banyak barang jualan,mak. Bukan seperti pasaraya di bandar yang sarat dipenuhi anika pilihan, memandang pun hampir gelap mata, tidak tahu apa yang diutamakan, bil akan panjang tersenarai barang yang ditawan oleh pandangan,” suara kakak yang tengah menggema rasa.


“Sepatutnya kita yang serba daif dengan makanan ala kadar bergilir nasi berkuah cair, bilis diperah air asam ikan asin yang kekadang ada ulat lantaran lama dijeruk pekasam, amat memerlukan rantaian makanan penyubur kesihatan. Badan kerdil tercungap mencari hela pernafasan ke kedai cuma yang ada barang-barang tanpa tanda harga, tidak diketahui bila tarikh luputnya juga tidak tertera isi sukat halal boleh dimakan atau sekadar gambar untuk diiklankan,” kakak yang sulong yang sudah kerap berulang alik ke bandar menambahkan gema di ruang kecil bilik tamu.


Memiliki enam orang anak perempuan dan Haniff anak bongsu menjadi harapan keluarga ini meletakkan keberanian biarpun usianya masih belum mampu memahami apa-apa selain menjadi perantara antara emak yang matang oleh usia dan pengalaman dengan kakak-kakaknya yang masih muda remaja mencari ruang menimba pengetahuan.


“Mak beri dua ringgit sudah mencukupi.Tepung cuma seringgit dua puluh sen. Bakinya Haniff pulangkan.”


Tekanan ekonomi amat dirasai oleh keluarga yang sudah tidak mempunyai ketua rumah tangga ini.


Peristiwa dari peredaran zaman tidak pernah melintasi fikiran mereka bahawa ia akan mempengaruhi keseluruhan kehidupan ibu tua dan anak-anaknya.


Dapor kayu tidak memerlukan balang gas yang harganya membolehkan ayam menjadi hidangan mengukirkan senyum di bibir anak-anak yang tidak pernah merungut biarpun menu tengahari dan malamnya hanyalah jemput-jemput kosong yang bercampur garam sahaja.


Mereka tidak miliki kamar tamu yang hebat dengan sentuhan hiasan dalaman langsir baldu ungu atau permaidani halus sulaman tangan yang dibawa dengan kapal terbang yang dibentangkan buat alasan kerusi dan perabot antik ukiran besi sebagai penanda laras taraf kebiasaan diukur untuk dinilai piawaian.


Peti frekuensi atau peti pantulan orang-orangan juga tidak ada di rumah itu, apa lagi maklumat dan informasi saluran telekomunikasi tidak pernah diperlukan oleh keluarga ini lantaran zamannya sahaja bermillenium baru tetapi aktiviti hidup dan wajah penghuninya masih dicorakkan oleh pemikiran lama yang semakin usang peradabannya tatkala hikmah dan sanggah disepakati cara menghadapinya adalah dengan kekuatan tanpa perseimbangan suara manusia dengan keinsafan.


Dan paling membingungkan hanya dengan bicara VETO sahaja semua makna peradaban kemodenan masyarakat intelek yang berkemajuan upaya menjadikan nilai-nilai demokrasi diletakkan di kaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan