Khamis, 26 November 2009

Rindu

Jika dapat diulang semula pertanyaan antara negara di rantau Timur yang manakah kerap membekas syahdu meresap kasih yang menyantun jiwa untuk sentiasa berasa bahagia tentu akan disingkap kira-kira empat belas tahun yang lalu di ketika usia masih muda telah ditakdir Allah untuk ditunaikan hak-hakNya menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.

Suasana di sana amat membahagiakan kerana terbukti masih diusahakan pengekalan syariat yang memelihara kesinambungan warisan para anbiak.

Cuma pada waktu itu telah kelihatan dulang-dulang besi yang ibarat cendawan tumbuh tersusun kukuh di pelantar bumbung-bumbung sepi di atas kebanyakan kediaman. Andai di Jeddah ia diterima sebagai kemajuan pembangunan pemberian zaman,apabila ia di Mekah sudah tidak upaya diimbas apakah penonjolan sebaran maklumat atau acara-acara sukan yang diselangselikan dengan tayangan-tayangan filem lama yang lazimnya ia diterbitkan oleh dunia luar yang pastinya budaya yang tersebar terlihat oleh kebanyakan mata adalah yang berbeza dari kebiasaan terlihat pada kenormalan kebiasaan mata memandangnya.

Tidak pasti keadaannya di Madinah pada masa kini namun pada waktu itu setiap hari diri akan berada buat beberapa ketika di atas bumbung bangunan kediaman untuk bertafakkur dan memberi ucap dengan ahli Bait yang telah berabad berada di seberang jalan.Belum terpandang dulang-dulang besi terpacak di situ.

Tanah hitam di perkuburan sepi yang damai itu wujud kelainan yang berbeza dari yang biasa ditemui di bumi yang lain.Tanah dan warnanya biarpun memandangnya dari jauh tetap terlihat beza warnanya. Waktu itu tidak dapat dipastikan di mana letaknya kuburan ahli keluarga yang terdekat keluarga Kekasih Allah SAW. Apa yang pasti bersendirian setia hari dengan memandang sahaja membuat hati berasa sayu.Penghuni-penghuni syurga yang telah diberi jaminan oleh Allah tempat bahagianya jika diukur menurut mata,ia terletak jauh dari paras sederhana, untuk menyatakan dhaif terasa keterlaluan tetapi itulah hakikatnya.Andai begitu sederhana rupa zahirnya yang dapat dibayangkan mengapakah mereka terus-terusan diaibkan dengan perkaryaan yang menjatuhkan nilai moral pengkaryanya,malah tidak tergiur untuk pemuda dan pemudi rantau ini membina pekerti seluhur murni peribadi para saidina dan saiyyidah yang tidak ramai tercatat nama mereka sebagai antara penyumbang kemanusiaan di dalam sosial ekonomi pendidikan budaya kepahlawanan perundangan penyebaran ilmu di dalam catatan pengembaraan para pengembara barat juga dari timur.

Sememangnya zaman di waktu itu tiada nilai-nilai teknik untuk diciptakan berbagai rekaan yang memberi kemudahan di dalam urusan rumah tangga atau di dalam bidang pekerjaan tetapi ia mengalami kemajuan pemikiran yang daya renungannya melampaui zaman sehingga sesuai menjadi sumber rujukan dan ikutan.

Alam muka buminya adalah bukit-bukit yang diberi tempat istimewa yang akan ditemui di dalam syurga kerana ia adalah sejarah yang bukan direka dengan penambahan melankolik untuk diwujudkan kelagendaan atau pendewaan untuk watak-watak yang menjelmakan keperkasaan yang tidak ada tara bandingannya kerana karektor watak di lembah istimewa ini sifat semulajadinya adalah di dalam kelemahan melainkan diberi kekuatan iman sebagai pakaian yang sering menjadi teladan.

Diri paling tenteram sewaktu berada berhampiran Kekasih Allah SAW. Kubah hijau yang sentiasa damai waktu ziarah itu sering memainkan minda mahu dibayangi Saqueefat Bani Saida yang menjadi babak penting di dalam sejarah tempat pendaulatan kenegaraan Daulah Islam sesudah era pemerintahan Kekasih Allah SAW, yang mengistiharkan sahabat utama sebulat suara dipilih menjadi ketua negara untuk memulakan pemerintahan era Khalifah Ar- Rashidin yang merupakan titik bermulanya diplomasi dan mungkinkah demokrasi yang mempaparkan keluasan makna kematangan kabilah-kabilah bertoleransi di dalam meneruskan amanah sebagai Khalifah di bumi Allah ini.

Dalam perjalanan untuk berziarah ke Jabal Uhud terlihat bukit yang seperti bentuk khemah di sisi Jabal Uhud.

“Mengapa air di sini perlu dihantar oleh lori setiap pagi?”

“Mungkin kerana cuaca yang panas air akan mudah tersejat.”

“Maksud abang?”

“Di sini mungkin tiada paip saluran yang membekal air seperti di tempat kita.”

“Saluran paip yang membekalkan air di tempat kita telah berusia lebih 40 tahun hingga air yang tercurah kadangkala berwarna coklat pekat.”

“Mengumpat…”

“Benar,kebanyakan penyakit bermula dari air .”

“Makanlah sesempurna mana dari jenis makanan yang berkhasiat andai peratus air di badan kita tercemar,kita menjadi tidak sihat.”

“Adakah warna air yang diutamakan?”

“Tahukah abang warna dari mata menjadi jenama untuk kebajikan mungkin juga diraih keuntungan.”

“Kita bercakap tentang apa nie?”

“Air yang membawa penyakit.Udara yang kering mudah membawa terbang debu dan batuk sering menjadi cendera hati dari tanah haram ke tanah halal.Ada yang mendakwa jika kita batuk selama berada di sini itu tanda kasih.”

“Usah suka membuat bidaah tanpa ilmu.”

Waktu pertama kali berjemaah fardhu Subuh di masjid mulia Mekah Al-Mukarramah diri tidak khusyuk lantaran tidak dapat membaca qunut yang sudah menjadi kebiasaan.
Namun sesuatu yang masih diingati tidak lama sesudah biasa menuruti Imam bersolat Subuh tidak berqunut,diri menemui ketakjuban apabila hampir setiap waktu Subuh Imam akan membaca qunut yang tidak sama bacaannya dengan qunut yang menjadi amalan.Waktu itu qunutnya amat panjang malah saling bertukar nada antara keras,lembut yang mensayukan seakan-akan Imam sedang merintih mengadukan permohonan kepada Allah.Ada jemaah yang menangis apabila Imam bergetar suaranya menahan esakan.Begitu daif diri tidak upaya memahami.

“Kita tidak mampu memahami bahasa arab.Solat itu adalah perbuatan doa pengharapan kepada Allah.Qunut dibaca sewaktu tertimpa musibah atau bahaya dan ia adalah doa untuk kebaikan juga saat untuk memohon kebinasaan buat sesuatu kejahatan.”

“Ia hanya sunat yang dituntut dan qunut kebiasaan kita adalah bagi memperindahkan jiwa tatkala bersama Allah.”

“Dari lafaz niat yang lisan hingga keseluruhan fardhu-fardhu solat kesemuanya wajib dibaca di dalam bahasa arab biarpun hanya dengan sebutan tasbih tahmid juga takbir,andai kita belum mampu membiasakan untuk melafazkannya.”terang seorang sahabat yang menjadi ustazah di salah sebuah sekolah agama waktu diujarkan pertanyaan tentang qunut sekembali dari tanah suci.

Pemandangan yang tenang terlayang sekilas sewaktu menuruni bas di hadapan MasjidilHaram. Ada bangunan kecil yang menaut mata untuk merasa ada sesuatu yang istimewa tentangnya.Berhadapan dengan paip tempat menadah air zam-zam masih mata tidak melepaskan renungan pada bangunan kecil itu.

Ingin disua pertanyaan di manakah tapak asas terbinanya rumah Rasul SAW di Mekah?

Adakah kekuatan daya magnet dengan kuasa dan keupayaan yang asli berada di sini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan