Jumaat, 4 Mac 2011

Wajah-Wajah

Susah apabila terasa dipantau begini.

Catatan tidak lagi tersusun apabila bercacamerba isu yang digarap oleh minda dicatatkan oleh kerana terasa sangat dikawal pelayarannya.

Imbasan masih memeta jelas ketika berhadapan dengan murid-murid lelaki Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Laki-Laki) Bukit Bintang Jalan Templer Petaling Jaya kira-kira dua puluh lima tahun yang lalu. Sekolah pertama setelah diluluskan temuduganya oleh Jabatan Pendidikan Selangor ini melakarkan persekitaran kondusif (betulkah) oleh jalin hubungan petempatan bangunan kerajaan dan kejiranannya oleh usianya yang telah lama wujud.

Sementelahan hospital yang menempatkan kenangan akhir bersama aruah abah berada di sini. Masih diingati unit rawatan rapi bahagian kecemasan menjadi tempat pembaringan akhir abah sebelum menutup mata.Masih jelas kelihatan peralatan bantuan pernafasan yang menutupi bahagian hidung dan mulut abah yang ketika itu sudah berada di ambang akhir hayatnya yang diberikan pinjaman untuk diambil semula oleh Allah.


Agak pelik terasa waktu itu dengan stuasi murid-murid di sekolah rendah ini yang hampir 80% terdiri dari bangsa cina dengan selebihnya ialah india dan sedikit murid-murid melayu.

Pelik terasa kerana tanpa pengalaman saya ditugaskan untuk mengajar kelas-kelas pertama dan ke dua dari jumlah antara empat atau lima kelas (lupa), yang kebanyakannya cerdik dan terdiri dari kalangan anak-anak orang kaya.


Kerap mereka membulatkan mata tatkala saya memasukki kelas.
Pelajar-pelajar yang masih di bawah usia dua belas tahun ini tidak berahsia menunjukkan ego mereka yang sesekali memberikan tekanan.


Mereka tidak mahu berbual di dalam bahasa melayu bukan kerana tidak mahu tetapi kerana sememangnya mereka tidak fasih bertutur di dalam bahasa melayu walau pun dilahirkan setelah tahun 1957 malah melepasi lebih sepuluh atau dua puluh tahun setelah tertubuhnya tanah air pada 1963.


"Cikgu tidak tahu bercakap inggeriskah?"fasih melaju dailog inggeris ditujukan pada saya.

"Memang tidak tahu,"saya menduga niatnya.


"Cikgu dari mana pakai baju seperti ini?"saat itu terasa kecil murid lelaki yang berkaca mata dan berbadan agak gempal itu pada pandangan mata saya.

"Saya orang miskin naik bas sahaja ke sekolah, bukan seperti kamu yang ada pemandu menghantar kamu ke sekolah."


Terkebil-kebil biji matanya kerana tidak faham makna balasan kata-kata saya.


Berbaju kurung setiap hari dengan skaf cukup menterjemahkan bagaimana rupa saya yang sesekali diturunkan jauh dari laluan yang sepatutnya diturunkan. Malah pernah bas menurunkan saya di hadapan premis jualan Volvo di Jalan 22- di tengah hari dan menapak sejauh hampir satu kilo meter untuk berpatah balik ke sekolah.


Tuhan sahaja yang tahu bagaimana tekanan yang dirasakan untuk mengajar sebuah sekolah rendah yang hanya ada murid-murid lelaki yang tidak fasih bertutur di dalam bahasa rasmi tanah air.


Dengan tingkah jujur mereka yang berego, sombong dan sedikit angkuh ia melengkapkan proses bagaimana saya menghadami komunikasi demi untuk berdaya tahan dengan jiwa besar mahu memandaikan anak nusa.


Sempadan yang mereka cuba bina lantaran mempunyai kelebihan berpengetahuan oleh kesempatan-kesempatan yang diperolehi menjadi anak-anak orang kaya (bukan semuanya) terhadap saya, menjadikan nekad untuk dihadapi ego ini secara profesional.


Lalu satu petang di dalam kelas darjah enam yang dipenuhi oleh murid-murid bijak, janji semalam yang dipersetujui bersama bahawa setiap kesalahan ejaan bahasa melayu yang dilakukan akan dihukum dengan ketukkan pembaris di jari yang digenggamkan. Jika satu kesalahan satu ketukkan dan ia dipersetujui lantaran "kemegahan" merasakan cikgu mereka "selekeh" dan tidak pandai mengajar.


Pertarungan dalaman batin saya ketika itu juga berentakkan ego sesuai dengan irama yang mereka gemakan.


Pada ketika ini penghalusan jiwa membuat tanya yang menikam jantung hati saya bagaimanakah pendidikan diberikan sifat tanggungjawab kepada generasi yang telah lama berada di dalam alam pembaharuan?


Kesan diplomasi demokratik demontrasi sebuah demokrasi menumpahkan pertindihan yang ruapannya tidak lagi upaya diempang.


Seperti di saat ini tatkala konflik yang mendilemmakan minda apabila seluruh dunia menggunakan kesempatan untuk mengkondemkan individu muslim atas sifat diktator atau sikap yang digelapkan oleh kecelaruan mewatakkan ciri berprofesional.


Dan akhirnya kesemua murid pintar dari kelas pertama itu terhukum oleh kesalahan di dalam ejaan.
(mata pelajaran yang begitu remeh waktu itu)

Kezaliman diri terasa apabila disengajakan agar dieja perkataan yang sukar untuk dilafazkan oleh kepelatan lidah murid-murid cina ini menyebutkannya untuk dieja huruf-huruf binaan perkataan itu.


Kesannya mereka memprotes dengan mengadukan hukuman yang menyakitkan itu kepada Guru Kelas yang menegur dengan kiasan,"kamu bukan seorang guru kerana tidak ada tauliah untuk diiktiraf."


"Jika semua mata pelajaran mereka boleh mendapat markah penuh mengapa pelajaran bahasa ini sahaja yang merendahkan markah keseluruhan mereka cikgu?"


Suka membantah sukar dielakkan walau pun berhadapan dengan guru yang lebih dua puluh tahun bezanya dengan usia saya ketika itu.


Lembut guru wanita serani itu menjelaskan tentang kewujudan urat-urat halus yang sensetif sewaktu digenggam upaya memberi kesan bila ianya diketuk dengan pembaris kayu.



Diplomasi berada di mana-mana untuk dinilai diri kita agar tidak menganiya atau menyakitkan diri orang lain atau merisikokan kerugian di pihak yang tidak bersalah atau mensia-siakan peluang dan kesempatan yang upaya diraih kejayaannya dari dimilikki.


Seni muhasabah diri yang teradun dari ikhlas seorang guru yang kaya dan tinggi pengalamannya memang amat berbeza luhur santunan kasih sayangnya walau pun dirahsiakan.


Ingatan ini masih kekal dengan wajah-wajah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan