Isnin, 27 September 2010

Berbual Dengan Hanaen Di Penjara Minda

“Seronokkah orang bernikah?”


“Mengapa bertanya? Awak muda lagi usah fikir tentang itu. Ada karier dan pendapatan sendiri baru boleh fikir tentang kawan. Ingat karier juga upaya dilahirkan dengan pengalaman.”


Anak dara sunti tersenyum-senyum.


“Usah fikir tentang keseronokan bernikah fikirkan tentang tanggungjawab."


Adalah silap apabila setelah menjadi isteri tutur ujar ini dilafazkan :

Tanganmu suami akan ku cuci tidak payah dikau bangun pergi ke sinki, akan ku sajikan masakan dengan payah mencari resepi apa yang menjadi idaman mu akan ku susun di atas meja agar perut mu kenyang sentiasa berisi, pakaian mu wahai suami lantunkan sahaja ke dalam bakul untuk ku cuci, rumah ku jaga urus rapi agar lenamu menyedut udara bersih tanpa hama-hama seni, menu lazat sarapan pagi, menu berat sajian tengah hari, sajian petang cucur udang atau kentang pai ku saji, menu malam kita cicah sahaja roti dengan kari.

Ahhh duhai suami, ku serah segalanya sebagai ikrar dan janji.


“Tahu suami hanya senyap-senyap membisik penuh rahsia pada diri.”

Anak dara membuka mata dengan mencebik bibir seperti tidak bersedia mendengar cemar harga sebuah cinta.


Seronoknya ada yang cuci pakaian tidak lagi stoking dan seluar dalam disekalikan masuk ke dalam mesin untuk didobi apabila malas mahu mencuci sendiri, aduhai indahnya kenyang di awal pagi senak hingga ke tengah hari, petang pula sekurang-kurangnya ada secawan kopi sebelum menikmati menu lahir dan batin untuk jasad dan rohani yang sebelum ini ku masak maggi apabila dompet tidak padat setelah membayar talian interaksi, tol bersiri dan minyak Kancil Viva atau Kenari.


Setelah beberapa bulan.


Suami, ku beli sahaja sarapan di gerai, malam kita makan sahaja lauk semalam atau maggi, pakaian nanti bolehkah dihantar ke kedai dobi? Mulas dan perubahan di dalam diri ini sesekali memang menguji harap dapat dikau cari idaman yang telah berkali-kali dikau mungkiri untuk mencari. Anakmu mengidam mahukan 'Sang Kancil' atau 'Rusa' yang kecil untuk dibakar yang hanya diperam dengan halia daun saderi tomato dan cili. Buah delima merah dengan rasa yang manis minta disaji sekali. Bukan sengaja mahu menyusahkan suami tetapi entah mengapa itu yang sering diingini.


Dalam diam protes mula bergema sehingga gegar amarah menanah di hati.

Ingat kamu itu puteri, sudah mula malas menunai ikrar dan janji, masak dan cuci mulai menghindari, mesra pula kian menyepi sehingga yang di mata ini sudah ada pengganti tatkala mudahnya berinteraksi masing-masing saling bebas berperibadi,
semua perkara mulai dilakukan sendiri, berbini umpama tidak beristeri.Satu pergi beribu tiba dengan sekali petik jari.


Adakah hidup kita memerlukan tema atau berjersi dengan warna dan angka yang sesekali membuta akal minda bila nurani jiwa sudah bulat tidak lagi upaya bersegi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan