Khamis, 23 September 2010

Pintu

Mahu bertanya bagaimanakah pintu mu yang tertutup itu upaya terbuka?

Sepi pada muka jalan serta lorong mu itu musimnya tiada?

Galang rantai yang termetri mangga besi itu milik Tuan punyakah?

Atau kuncinya telah dihilangkan lantaran tiada kunci pendua?

Rafah itu hanya nama atau rangkai kata yang tidak mempunyai kuasa?

Atau Rafahmu itu hanya nama yang tidak bermakna?

Di manakah wajahmu dikau halakan tatkala tidak ku tampak ahli-ahli sidang Senate mahu pun Parlimen berkelas dunia sedia membuka indera tanpa paksa untuk mendengar kisah Rafah mu

Atau selama ini dikau sememangnya sudah tidak mengenali pintu serta jendela yang diberikan banyak persamaan pada warna dan rupa pintumu itu?

Atau sememangnya khidmat kebajikan mu itu tidak berupaya merentasi agensi yang dikau geruni kerana ianya umpama gergasi?


Buka pintu mu itu!

Sejadah bentangannya di masjid sudah tidak sekata untuk memangku paku-paku pintu mu yang tidak mahu terbuka

Bukan tiada doa yang tidak disertakan untuk tiba di ribaanmu

Cuma mungkin apakah sememangnya bangsa mu sudah jarang dan tidak gemar menyegarkan amalan sunnah berbanding perintah?

Apakah Allah masih tidak mahu memberikan bangsamu kekuatan untuk membuka pintu yang sering tertutup itu?

Apakah sememangnya dikau tidak sedari telah banyak tenaga manual bangsa mu menjadi sia-sia?

Apakah susut nilai kemahiran milik bangsa mu tidak boleh dipertikai?

Sudah lama kami melihat pintu Rafah mu memperdayakan dunia.


Bukalah pintu mu

Tatkala pernah ku lihat keindahan tanah mu saat ia pernah terbuka pada satu ketika

Telah dilihat persamaan pintu mu dengan pintu-pintu yang lain

Lantaskah masih mahu mengusir para tamu yang ingin melalui pintu mu?


Bukalah pintu mu

Biar ku lihat keindahan tanah mu yang keringnya bukan kerana gersang oleh tiadanya timpaan hujan

Suburnya pula bukan kerana tindas aniaya hasutan

Tetapi kerana merdeka itu bererti bebas membuat keputusan

Bukalah pintu mu itu

Untuk apa ditutup andai diri mu inginkan jendela

Bila udara yang bebas itu tetap menyentuh luka-luka rasa mu

Upaya apa merahsiakan tanah mu yang indah apakah mahu dirawankan terus dengan sendu tatkala sudah ramai yang tidak lagi keliru

Mohon ku bukalah pintu mu

Ia tanah yang bukan disewa dari Tuan Tanah

Ia tanah yang diperakui milik mu

Bukan tanah yang dikau curi atau dikau rampas tidak pula tanah yang dikau cagar buat penebus hutang


Apakah dayus lelaki-lelaki mu kerana khianat untuk dibina penjara melingkari kawad besi bagi menggerudi tanahmu?


Bukalah pintu mu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan