Ahad, 28 Jun 2009

Supir

Minda bersinis dengan ceria.

Memasuki Kota Singapura menemukan kepelbagaian rasa.Mengalas perut menjadi kemestian terlebih dahulu andai tidak ada niat untuk menyinggahi mana-mana kediaman saudara atau kenalan di sana.
Memenuhi petrol pada kenderaan juga perlu dilakukan andai menggunakan kenderaan persendirian.Beza pada susut nilai wangnya upaya membenih rasa derita.Dan sering diingati dengan sesungguhnya bahawa kenderaan warga Kota itu bacaan liter minyaknya tidak dibenarkan melebihi dari setengah isipadu penuh tangkinya sebelum menyeberangi Selat Tebrau untuk memasuki semula negaranya.

Terlalu banyak persediaan perlu dilakukan dan hampir kehilangan punca saat kad putih tidak lagi mudah didapati di beberapa stesyen minyak.

"Kami tidak lagi menerima kad putih itu. Puan cuba ke Caltex di seberang sana,"ramah pekerja di stesyen minyak yang ke tiga memberitahu.

"Hanya membuang masa apabila sudah berada di sini mahu menyeberang ke jalan yang di sebelah sana,"protes minda mulai menjengah.

RM 1500 menjadi sekitar $S600 menambah beban pada emosi sesudah diredah tol-tol di sepanjang perhubungan awam dan sesudah kali ke dua minyak dipenuhi tangkinya.

Mata bertanak air.

"Begini sukar untuk mencari hak Ya Tuhan sedang hak itu telah diabaikan," perlahan pengucapan yang berhakiki bukan semata berhakikat untuk dihikayatkan terucap.

Minda sudah tidak terbetik lagi untuk bernazam.
Syair juga telah pudar untuk digurindamkan.

'Apa gerangan kesalahan gusti,
Maka demikian sampainya hati,
Ayahanda bonda empunya pekerti
Membunuh diri ini supaya mati!

Puisi Melayu tiba-tiba menyinggahi kalbu.

"Hamba mencari melayu yang dikembirikan oleh percantuman ras di Kota Singa. Apakah upaya ditemui?"entah suara Hang Nadim, Sang Rajuna Tapa atau William Farquhar berbisik-bisik melayani emosi.

Minda mengelus sayu membayangkan 'potato' dikupas kulitnya dengan cara merebus atau menanggalkan kulitnya satu persatu dengan penghiris yang tajam.
Ku terlihat wajah 'potentate' itu.
Bagaimanakah 'potato' menjadi potentate'?

"Andai saya ke Kota Singa bukan dengan niat mahu menemui mu!"

Basahan lisan masih pekat lukanya.Meski tertumpah ladungan tasik mata, saat begitu lunak dia menyebutkan sebuah nama oleh penantian meluncurkan pekatan likat bendalir yang terkurung memintal-mintal pada urat halus minta dibazirkan,ketoleransian mendiamkan diri menjadi lumayan nilainya tatkala dijiwai tenang dan lapang rasa.

Sementelahan di pintu masuk ditemukan deretan warga melayu yang fasih berbahasa melayu menyambut ketibaan dengan senyuman.Wajah-wajah mencuka yang sering berpaling tidak lagi ditemui malah gadis cina pulau itu bersedia bersenda seloka menggunakan bahasa melayu.

Menyusuri Bukit Timah di sepanjang perjalanan kelengangan mencuit minda untuk dirasakan perasaan yang serupa waktu menjengahi bandar Johor Bharu yang kelihatan sunyi tanpa sapaan keramaian.

Menyusur keluar dari Bukit Timah terdampar diri di perkarangan hotel-hotel mewah yang lengang namun masih upaya ditemui kuntuman senyum penawar lelah.

Tersasar tersesat ditemui pula angka-angka pencuci mata.

Di sinikah angka-angka bertamu sebelum berpesta?

"Usah mendajjal wahai minda.Warna-warna dan angka-angka itu tidak menjadi alasan untuk dipertalikan dengan pencarian mu. Tidak. Meminggirlah pendajjal. Usah dikau perhebatkan kehijauan mu dengan kehijauan syurga rasminya warna buat Islam.Hijau tema mu tidak ada kena mengena dengan hijau milik ku,"akrab jiwa menyentuh minda menyingkir metos bahawa fengshui kita serupa.

Melalui Jalan Sultan menuju ke Jalan Geylang,Kota Singa tidak lagi seperti Kota yang dahulu pernah dizahirkan.Kemeriahannya telah tiada. Hanya warganya sahaja yang memenuhi jalan-jalan yang sunyi.
Rumput-rumput menjalar liar tidak bertebas.Tandas awam juga sudah tidak sebersih dahulu.Kelihatan pekerja perburuhan berbaring keletihan di beberapa lorong pejalan kaki saat melintasi perkarangan Kastam.

Kepenatan namun bahagia terisi.

1 ulasan:

  1. Bukti blog ini juga dipecah masuk oleh pihak yang tidak beramanah apabila menukarkan ayat asal yang dicatatkan sebelum ini,,,


    Sementelahan di pintu masuk ditemukan deretan warga melayu yang fasih berbahasa melayu menyambut ketibaan dengan senyuman.Wajah-wajah mencuka yang sering berpaling tidak lagi ditemui malah gadis cina pulau itu bersedia bersenda seloka menggunakan bahasa melayu.


    Saya selaku pemilik blog ini mencatat:

    Sementelahan di pintu masuk ditemukan deretan warga cina yang fasih berbahasa melayu menyambut ketibaan dengan senyuman.

    Jenis wajah yang bagaimanakah tergamnak menukar dan menambah serta menghilangkan catatan asal blog-blog yang bertuan ini?


    Penukaran kata kunci yakni password telah menjadi kaedah untuk mereka mengenal pasti kata kunci yang baru dengan tujuan yang sama iaitu mahu menghack laman-laman tertentu.

    BalasPadam