Khamis, 25 Februari 2010

Peti Yang Mematikan Suara?

Entah atas dasar apa wujud sifat keji yang didakap pada pagi ini oleh emosi diri tatkala mencuba membuka frekeunsi pada pagi ini.Benarkah kini gelagat mereka yang telah berusia kini melebihi anak muda?

Adakah atas dasar putaran lagu-lagunya yang sukar dijejak mesej isu yang terkandung di dalam senikatanya atau kerana iramanya yang tidak berjiwa tradisi klasik untuk unik kedengarannya?

Umpama serombong kapal yang mengeluarkan asap tebal untuk menjadi daya penolak kitaran angin setelah sauh dilontar layar dikembang masih pekat asap serombong kelihatan mencemar.

Begitulah yang dirasakan untuk beberapa hari kebelakangan ini.

Musykil itu mulai bermula tatkala melihat anak ke tiga semakin malas mahu ke sekolah. Hari ini masuk kali ke tiga dia tidak mahu ke sekolah. Mulanya dengan alasan tidak siap kerja yang diberikan. Kini dia jujur mengujar dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak mahu ke sekolah. Dikedapkan ujaran adiknya yang menyatakan keinginan mahu bersekolah di sekolah yang memakai sampin hijau, kini kemalasan abangnya meresahkan sukma ini.

“Mus,usahkita membanding diri dengan orang lain. Kelemahan dan kekuatan itu kita sendiri yang membinanya. Apabila ada peluang tidak digunakan itu salah sendiri. Namun bukan semua kita diperlukan menjadi doktor, jurutera,peguam, pensyarah, guru, pelakon, penyanyi, pemuzik, pengarang, polis, tentera, juruhebah, menteri, jurugegas, kerani, buruh, pencuci, tukang sapu, ustaz atau ahli sukan. Tidak begitu realitinya. Kerana itu agama amat perlu difahami bila di dalam fekah kita wujud dua tuntutan yakni fardhu ain dan fardhu kifayah. Meluhurkan rohani kita untuk tidak berkeluh kesah. Apabila sudah ada doktor tidak perlulah kesemua pelajar yang berada di sekolah mesti masuk universiti dan menjadi doktor. Itu fardhu kifayahnya.Fardhu ainnya ialah Mus tahu tuntutan rukun-rukun Iman dan rukun Islam bukannya Rukun Negara semata-mata. Kita miliki kesucian jiwa dan akal kerana sifat thaharah itu kesuciannya masih di dalam lingkaran kalimah tauhid. Faham!”

Mulai suara mahu meninggi apabila laungan azan tidak dilihat mahu diterokai sama oleh remaja sebagai sebahagian pakej membina keluasan ilmu amali yang menggunakan suara yang lunak dengan disiplin kualiti tertentu untuk layak menjadi muazzin.

“Muazzin bukan jawatan professional agaknya.”

Jauh di sudut fikir kami sudah mulai terasa bagaimana bola sepak telah mengundang sesuatu yang tidak upaya dibendung oleh anak yang ini. Saat ini ingin digempur sasar telahan minda yang didepani oleh warga-warga yang cenderung untuk menjadikan gelanggang medan sebagai arena kelas pembelajaran.

“Belajar di padang setelah gelanggang demi gelanggang dipersaingkan?”

“Ia lebih baik menjadi antara pilihan sebagai ganti hiburan.”

Aktiviti sukan menjadi antara seni hiburan yang harus sifatnya selagi mana ia tidak menjadikan kelalaian sehingga solat bagi muslim ditinggalkan.Isu masa seperti mana tidak wajar bulan Ramadhan menjadi bulan yang diwujudkan jadual siri perlawanan mana-mana kejuaraan liga lantaran ia bulan ibadah muslim yang semakin kurang dimanafaatkan. Aktiviti sukan tidak wajar mempertaruhkan perjudian atau pertaruhan yang haram untuk diagihkan keuntungannya di kalangan mereka yang muslim.

“Biasalah masa di padang mereka memaki hamun dan mencarut apabila wujud rasa tidak puas hati..”

“Itu yang wajar membezakan kekuatan seseorang. Sabar adalah sesuatu yang sukar dilaksanakan andai tidak wujud kekuatan. Keterlaluan mempertaruhkan kekuatan fizikal kekuatan batin mudah mahu diabaikan. Ini yang salah Mus.”

Musykil ini kelihatannya akan dipaksa berpanjangan oleh suara pengaut keuntungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan