Khamis, 20 Ogos 2009

Sandiwara Liberalisme?

"Rugi andai kita membinasakan kampung-kampung."

"Rugi?"

Adakah kampung itu digambarkan oleh rumah yang didirikan dengan tiang buluh dan didindingi oleh mengkuang dan berbumbung dengan atap nipah?

Adakah kampung itu digambarkan dengan sumpek-sumpek kekotoran saliran yang menggebu dengan sampah dan buangan sisa-sisa yang hamis, lorong-lorong yang ditimbun oleh tanah-tanah merah tanpa tar yang dilopakkan oleh hujan atau didebukan oleh angin kering?

Adakah kampung itu digambarkan oleh tiadanya kemudahan pengangkutan atau oleh sewa kenderaan yang tinggi sesuka hati dikenakan?

Adakah kampung itu digambarkan oleh tiang-tiang tanpa aliran agihan bekalan voltage dan pancuran air keruh yang disembur dengan karat besi paip atau sungai yang disuling oleh sampah dan buangan sisa kimia?

Adakah kampung itu digambarkan oleh ketiadaan tanaman yang menghijaukan tanah-tanah gambus liat merah berbatu granait akibat gondolan yang memudahkan laluan angin menderu dengan badai oleh tiupan lintangnya dan terhaus takungan air di banir-banir akar yang menambah retak tanah di musim kemarau?

Adakah kampung itu digambarkan oleh kehilangan geran pemilik yang tidak diberikan iktiraf oleh adat lazim yang tiada undang-undang upaya membela setelah ladang teroka bergenerasi tidak memberi hak pemilikan?

Adakah kampung itu digambarkan dengan rumah-rumah mewah yang kos penyelengaraan binaannya upaya menghabiskan sebahagian dari simpanan di usia muda dan masih perlu berusaha di hari tua?

Bagaimanakah diingini pengekalan kampung-kampung yang tenang sejahtera damai sentosa nyaman bahagia tidak menyerlahkan persamaan dengan apa yang ada di bandar, tiada kedengaran hiruk pikuk dengan hingar bingar yang mengonar indera mencela rasa?

Bukan bermakna kampung yang miskin jiwa penghuninya sehingga terundang uji dan bala kerana dosa.

"Bagaimana nanti mereka memberikan sifat Kota kepada Kampung kita dengan mempersonakan nafsu untuk dijamu sebagaimana sedikit demi sedikit tanah yang luasnya cuma sedepa demi memenuhi citarasa berbudaya anggur yang diperam menu utama,banyak tanah haram bertukar menjadi tanah halal yang menukar rupa dan warna warga di kampung kita?"

Sedangkan rumah tangga dan keluarga juga mereka ingin mewacanakan binasa apalah lagi tanah yang upaya ditukar menjadi harta. Apakah sandiwara liberalisme juga mahu berakhir di penjara setelah berasa gusar hilang kuasa?

Orang Kaya-Orang Kaya itu mengilai tertawa pada senda hamburan ria anak muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan