Jumaat, 2 Oktober 2009

Sari Sanubari Siapa?

Bagaimanakah suasana hari raya di masa mendatang tatkala tiada lagi halaman-halaman kampung yang merimbuni erat kasih dan sayang?
Tiada lagi wajah-wajah tua yang erat mendakap pengalaman sebagai pengetahuan.
Tiada sempadan budi bersapaan yang mengikat santun mengusir keegoan.

Terdiam.

Terbayang rumah kampung yang ditinggalkan sepi setelah pemergian pemiliknya.

Rumah minang yang di diniharinya menjadikan kesejukan mencecah hingga ke tulang apabila lapis-lapis papan yang berjarak oleh tua usia kayunya membawa simpulan bayu yang mengelus lembut menyerap ke liang-liang roma dan atap nipah yang bersalut zink mendinginkan penurunan embun yang menitis gugur tinggalan peruwapan hangat siang terusir oleh dingin malam.

Rumah yang tidak bertuan itu mulai tunduk merebah diri ke ribaan bumi.

Daerah sembilan jajahan yang miskin pemimpin tetapi kaya dengan budaya kasih kekeluargaan namun mundur dek sedia menunduk demi kepentingan bukan daerah asing yang mudah diabaikan begitu sahaja,

Masih belum dilupa tatkala pernah berasa seronok mengikuti jalan baru pintasan dari Padang Lebar ke Simpang Pertang sebagai hadiah pilihanraya kepada penduduk yang pada kali terakhirnya dilalui kira-kira enam tahun lalu telah menzahirkan perancangan projek yang tidak mendalam difikirkan untuk dimanafaatkan oleh penduduk kampung.

Jalan berturap tar sejauh lebih dua kilometer itu tidak menjadi laluan utama pilihan penduduk kampung. Semak dan lalang meliar tumbuh sehingga ke tengah jalan. Tar-tar yang berturap ada yang sudah berlubang kerana pecah.

Gunung Telapa Burok yang menjadi sebahagian dari tulang belakang Banjaran Titiwangsa topo konturnya mulai menurun menjadikan jalan pintas ini amat indah pandangan flora dan fionanya. Udara yang segar masih segar upaya dihidu tatkala keluar dari kenderan saat teruja melihat pucuk-pucuk pohon cengal,merbau,meranti dan tumbuhan malar hijau walau pun berada hampir dengan daerah paling kering oleh penurunan hujan yang kurang.

Tanda-tanda jalan ini kurang diperlukan upaya dilihat apabila ramai belia lepasan sekolahnya meninggalkan kampung untuk berhijrah ke bandar. Laluan Batu Kikir ke Kuala Pilah dan Serting waktu itu sudah memadai. Balairaya yang disediakan juga tidak digunakan. Kampung tanah beradat itu hanya dihuni oleh warga tua.

Hasil menoreh getah setelah sawah yang pernah menjadi menjadi punca utama penduduk berpendapatan tidak menjadikan anak-anak muda betah menyumbangkan budi. Harga getah yang pernah hanya sekitar RM 2.50 se tan menjadikan penduduk kampung semakin naif walau pun berjenis kenderaan diperbaharui kapasiti kuasa kudanya.

Isu yang tidak difahami oleh penoreh waktu itu ialah penghasilan getah tiruan yang diperolehi oleh penemuan baru di barat menjadikan kemiskinan adalah penanda rupa kepada penduduk kampung. Penoreh, petani, peladang, buruh, nelayan juga pelombong dan peneroka tanah-tanah baru ketika itu tidak ke Suruhanjaya Sekuriti untuk memahami mengapa tanaman mereka tidak upaya mengubah hidup mereka.

Kasihankan.

Apabila kelapa sawit mulai dijadikan tanaman gantian kampung yang sedia sepi itu kembali menjadi hutan.
Apabila tanah adat yang diwarisi oleh pecahan pemilikan beramai-ramai gerannya, kenaikan harga sehingga mencecah RM 1,950 se tan, aaahhh pengalaman bertegang urat dengan kerani bank akuan pendapatan sawit emak disimpan memalaskan minda untuk terus berfikir.

Penebangan hutan untuk tanam semula menghadirkan hakisan. Kedhaifan saudara mara puluhan tahun yang lalu masih segar di dalam ingatan meski kini wujud pembaharuan masih daerah sembilan jajahan tertakluk pada perbezaan bagaimana kemudahan biayaan dipengaruhi oleh darah kebangsawanan.

Tidak berasa upaya dihadami lagi pepatah kata.

"Tatkala kecil bernama muafakat,
Tatkala besar bernama adat,
Si Raja adat kepada muafakat,
Air melurus dengan bandarnya,
Benar menurut dengan pakatnya, (jika tiada izin berpakatkah namanya)
Negeri bertumbuh dengan adatnya,
Muafakat lalu di dalam gelap, (jika tiada rahsia mungkinkah menjadi terang)
Adat lalu di tengah terang,
Hilangkah adat kerana muafakat?
Tatkala,
Hidup dikandung adat,
Mati pula dikandung tanah."

Ya terhayatkah makna kata.

"Kaki terdorong badan binasa,
Cepat tangan dapat hutang,
mulut terkata-kata, emas padah,
Terpijak benang arang, hitam tapak."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan